9/19/16

Bangkok Bandaraya Shopping

"Aimi mahu ke mana?"

"Bangkok."

"Pesan saya balik dari Bangkok ... jangan bengkok," Pegawai Imigresen.

Itulah kali pertama pasport aku dicop.

***
Aku pergi berbekalkan RM 849 yang menjadi THB 7260.00.

Aku tak sempat nak study pasal Bangkok betul-betul. 2 hari sebelum pergi, baru Google beberapa information. Kebanyakannya post lama / blog dari Indonesia. Jadi aku pun berniat untuk tulis sikit bila pulang.

Budgeting, tentatif, tempat tinggal, tiket serta khidmat nasihat pelancongan ini semua disediakan oleh: Nabil Basaruddin, Tarmizi Salleh dan Harmiza Hashim. Mereka buat semua sehingga job yang tinggal untuk aku adalah design baju.

Apalah ertinya travel dengan Aimi tanpa tshirt sedondon.

Sebagai generasi Y ketagih internet, tiba sahaja di Don Mueang International Airport kami segera membeli sim card demi survival!

Dibayangi akak yang meniaga dengan kata-kata, "Why pay more?"

Aku tanya kenapa ada harga THB 150 ada THB 199. Dia cakap THB 150 tu untuk sehari je.

Seterusnya adalah masa untuk keluar dari airport! 
Cara untuk keluar dari airport adalah bertanya dengan petugas sekeliling. 

Naik bas dengan harga THB 30 kemudian akan diturunkan di stesen BTS Skytrain. Kami turun di stesen Mo Chit. Dari sini, pandai-pandailah bawa diri.

Journey starts now!

Sampai-sampai je terpesona tengok iklan dessert KFC yang apahal nampak sedap sangat.

Lepas tu terbau roti pulak.
 Baru sampai negara orang ni, excited dia lain macam sikit. Semua benda nak tangkap gambar.

Surviving train kit in Bangkok. Kad dia lebih kurang macam kad lama KTM.

Rasa macam kat KL pun ada.
Di Bangkok kami tinggal di Decor Do Hostel yang berdekatan dengan mall Sena Fest tapi langsung kami tak sempat jejak because so many things to see, so little time that we have. 

Tepi katil ada meja kecil, lampu dengan plug peribadi. So, roomate tak boleh kacau kita haha.

Lampu dengan meja tu bolehlah dijadikan mini studios untuk photoshoot segala macam benda.

Hasil beli-belah tahap infiniti di 7E Thailand.

Decor Do Hostel ni best tau walaupun masa mula-mula nak cari tu ingatkan dah sesat. Nak pula berjalan cari hostel cam panik-panik sekejap bila nampak anjing.

Haa, bilik selesa lepas tu ada pantri (supaya kawan-kawan dapat buatkan kita breakfast) dan tempat lepak. 

Tempat lepak tapi jangan bising sangat. Their neighbour is sleeping.
Lawatan kami ke Bangkok meliputi Siam Paragon, MBK Center, Grand Palace, Chatuchak Market, Khaosan Road.

Hari pertama tiba di Bangkok, kami melawat Siam Paragon, MBK Center (ada surau), pasar di seberang jalan Siam Paragon, 

Di tepi-tepi jalan nak ke Siam Paragon ada beberapa jualan juga. Tapi aku rasa yang selalu menggoda aku dekat sana adalah minuman buah-buahannya. Dah lah masa tu, aku berpantang ais / minuman sejuk sebab baru baik batuk. Aku bagi satu contoh:

Godaan di tepi jalan dalam pelbagai cara. Terutama untuk seorang yang tak boleh minum air sejuk.

Makan berat pertama kami di Bangkok di Yana Restaurant, MBK Cemter. Jadi wajarlah kami teruja menangkap gambar makanan kerana ianya amat signifikan. 

Bila dikenang kembali, setiap hari kami di Thailand, kami makan berat pada waktu malam sahaja. Itu pakej breakfast, lunch, dinner.

Ini adalah makanan pertama kami di Bangkok.
Setiap kali teringat peristiwa yang kami sangat lapar ketika di MBK Center, aku macam tak boleh berhenti gelak. Setelah berfikir sejenak, aku rasa mencabar jugaklah nak cari tempat makan halal ni. 

Ada satu tahap tu, kawan-kawan aku dah ternampak dari jauh nama food court. Mereka pun berlari. Nabil paling hadapan. 

"International Food Hal..." tiba-tiba boleh pula depan tu ada bunting. Jadi tak nampak ejaan penuh. Mereka jengah ke belakang buntung.

Aku berjalan di belakang. Tak mampu berlari.

"Alaaaa, International Food Hall! Dia tertinggal 'A'" kata Nabil. Hampa.

Aku dah tergelak-gelak macam nak berguling. Teringgal 'A' = Hal'A'l.

Hari kedua dimulakan dengan semangat untuk: Grand Palace, Chatuchak Market, Khaosan Road.

Sebelum kami ke Grand Palace, kami sempat temu bual Iyan yang telah lebih dahulu ke sana. Kami tanya agak-agak berapa lama masa akan dihabiskan berjalan di dalam Grand Palace.

Iyan tanya, "Suka bergambar ke tak?"

Kami berpandangan sesama sendiri.

1/12 dari kemegahan Grand Palace sehingga kami perlukan 4 jam berjalan di dalam ini.
Tidak termasuk melawat Queen Sirikit Museum of Textiles pula.
Di sana kami naik pelbagai jenis transport. Walaupun aku ada tertidur beberapa kali dalam teksi tapi ada masa aku tak lupa untuk menjenguk ke luar tingkap bersama Miza. Tujuannya adalah untuk melihat poster-poster iklan yang dihiasi hero-hero filem Thailand. Bahkan ketika train ride dari Mo Chit, aku dah nampak iklan lakonan Mario Maurer pada TV dalam train. Rasa nak jerit pada Miza yang berdiri sedikit jauh dari aku pada ketika itu.

Ada sekali tu nampak billboard besar pada bangunan. Aku tunjuk pada Miza, "Eh itu ..."

"A'áh pelakon SuckSeed," Miza laju membalas.

Sampai sahaja di Khaosan Road, berebut-rebut nak bergambar di sini. Nak shopping -- poket pun macam dah tinggal habuk je
.
Malam tu, ktorang betul-betul menghidupkan kata-kata "shop till you drop". Ktorang tak pergi Floating Market sebab takut sampan tu tak float, punya banyak shopping.

Favourite market aku personally, Chatuchak! Seriously, i want everythinggggggggggg here. Kah kah, kawan-kawan aku dah penat nak dengar. Sebab kenapa aku suka Chatuchak adalah barang semua cantik-cantik. Barang jualan dia tak berulang-ulang even ada corak yang sama pun, design dia mesti lain. Jadi setiap kali kita tertoleh satu kedai mesti rasa, "Omg! Ni aku tak ada lagi."


Masa tu rasa macam fashion knowledge updated to 80% bersama feeling jadi pengacara Mad Markets.

Walaupun dah balik kekadang aku masih meroyan dekat Group Whatsapp sebab tak beli drawstring bag yang cantik sangat tu (Sebenarnya kalau beli pun nak pakai pergi mana. Aku dahlah nak kena bina imej korporat). Tar reply, "Tak apalah, good thing kita berjaya balik Malaysia. Tak tergadai bershopping kat sana."

Aku pulang dengan THB 390.00 yang menjadi RM 45.15.

*** 

Jadual nampak macam kami rushing kan?

Ini memang 1 / 5 je dari yang kami buat. Kalau tidak, takkanlah masa pergi nyanyi lagi Where Are You Now, balik mulut tersasul nyanyi Jomblo Happy (padahal pergi Thailand).

Dan ... sebelum ke Bangkok, kami telah ke Pattaya dahulu. But like people says, "What happens in Pattaya, stays in Pattaya".

Haha!

Actually that is not what they say. They say, "Good guys go to Heaven, Bad guys go to Pattaya".

Angkat kening.

 *** 
Pulang dari Thailand aku tak sempat untuk terus update blog, masa tulah tak ada laptop dan aku nak ke Johor, Melaka, kerja. Sampai kawan-kawan panggil, "Traveler". 

Aku memain cakap, "Weekend Traveler. Tapi hashtag nak eja Wknd supaya geng dengan Wknd Sessions. Haha!"

Tapi masa bas aku dari Melaka-KL lambat, aku skrol Instagram sampai rasa nak serius pula pasal #WkndTraveler tu.

***
Lain-lain tempat:

1. Solaris
2. Sabah PT 1, PT 2
3. Pangkor
4. Lata Medang, Lepok, Mossy Forest
5. Penang PT I, PT II

 Lokasi seterusnya adalah ...

9/10/16

Rintihan Hati - Othman Hamzah kembali bergema!

"Auntie datang petang ni. Tak sapu lagi ke bilik ni?" tegur mak aku.

Seraya dalam kepalaku bergema irama, 'I look at the floor and I see it needs sweeping''.


***

Playlists aku berselang-seli lagu dari filem Pekak (Uda dan Dara) dan Kubo & The Two Strings (While My Guitar Gently Weeps) atas faktor baru menonton kedua-dua filem dalam jarak selang seminggu.

Minggu mood raya ni hangat pula filem Pekak dibahaskan. Masa minggu aku tengok tu, isu tiket RM 20 dibicarakan. Lepas tu pula, isu di-banned di Brunei. Minggu ni pula isu morality. 

Sekarang memori masa beli tiket tu dengan Zati bermain-main di kepala. Berkali-kali brader di kaunter tu ingatkan aku tentang movie itu untuk 18 tahun ke atas. Kalau bawah umur tak boleh refund. Siap bulatkan simbol 18 kat tiket pakai pen. 

Aku puji semangat kerja dia sebab dia buat betul-betul. Tak putus asa minta buka beg nak check ada bawa kamera rakaman. Aku tanya dia, "Huh!?", 3 kali sebab aku tak dengar dia nak apa. Aku dah terlalu teruja nak masuk hall. Haha.

Habis menonton aku tak upload gambar tiket ni atas 2 sebab: (1) Aku penat kerja sepanjang minggu jadi tak bersedia untuk melayan sebarang jenis perdebatan mengenai filem yang aku tonton untuk hiburan hujung minggu. (2) Aku tak reti jawab soalan tentang berapa bintang -- aku memang tak reti dari dulu. Perhatian macam ni selalu aku dapat kalau tonton filem tempatan di pawagam.

Tak ingat macamana aku lalui zaman-zaman diploma dulu setiap kali dapat assignment menulis review filem. Sebab sekarang aku rasa ada banyak sangat benda aku fikir / pertimbangkan kalau nak tulis review sampai last sekali tak tulis. Beberapa teori philosopher tentang filem yang pernah aku belajar juga aku dah terlupa. Jadi, kalau nak buat research dulu untuk tulis review jenis yang mengaitkan beberapa philosophy Barat kemudian quote beberapa pengarah tersohor dengan keadaan laptop yang bernyawa tidak stabil ni, chances untuk review tersebut dapat dipublish adalah tipis.

Mungkin sebab tu blog aku bukan blog review filem. Walau bagaimanapun, aku boleh cadangkan untuk baca tulisan kawan-kawan aku seperti: Iki Ali di The Iki.Ali ataupun Marwan Z di laman 1M4U fm.

Aku terpanggil untuk tulis sikit pasal Pekak ni sebab Manda inbox aku review dia. Dia tak publish review tu, tapi dia suruh aku tulis review dengan pesanan: "Kita pelajar penulisan. Jangan malas menulis!"

Dan kebetulan malam ni, kami (9Belas) akan meet up di wedding Alyssa Sobree jadi eloklah aku menaip. Takut nanti ada, presentation kertas kerja industri kat meja ke apa kan (Kah kah! Aku akan pastikan tiada). 

Baiklah. Aku suka cerita bila dia meninggalkan sesuatu kepada penonton untuk ingat filem tu.  Benda tu akan jadi trademark, bila kita dengar - kita ingat filem itu. Bila kita sebut - orang boleh sahut. Sekadar memberi beberapa contoh; Ada Apa Dengan Cinta tinggalkan buku "Aku", short film Pasport Ekspres tinggalkan lagu Hidup Bukan Untuk Derita - Ahmad Jais, mahupun Kami The Series tinggalkan remaja dengan kehangatan menulis blog mahupun zine.

Oleh itu, salah satu elemen penting dalam trailer / drama / filem yang akan tarik perhatian aku adalah penggunaan lagu. Tak kisah tentang penggunaan 1 / banyak lagu tapi adunan lagu dan scene tu penting. Aku bagi contoh trailer yang menarik perhatian aku dengan permainan lagunya: The Perks of Being a WallflowerSuicide Squad, The Huntsman: Winter's WarFifty Shades Darker (mula di minit 1:23 hingga akhir trailer), Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick, Kami The Movie, Hujan Panas. The list goes on kalau aku baring-baring tengok tv atau sebelum tidur nanti.

Lihat sahaja bagaimana babak pertama dalam trailer Pekak: piring hitam berputar kemudian jiran Uda mengetuk dinding pembahagi bilik mereka dan berkata, "Woi Pekak! Kau slow sikit radio kau tu."

Kita terpana dan menunggu babak berikutnya.

Dan untuk filem Pekak, aku rasa ruang dibuka untuk Rintihan Hati - Othman Hamzah untuk kembali berputar di samping Sepanjang Riwayatku - They Will Kill Us All mencengkam otak.

Bab lain aku tak ada apa nak bincang sangat.

Tapi yelaa, kalau kau tayang Pekak ni masa raya untuk seisi keluarga, memanglah tak kena. Kan ke dah tulis 18. Brader kaunter tu ingatkan banyak kali tahu tak!

Dah aku nak pergi bersiap. Whatsapp group kuat berbunyi ni.

***

Untuk yang di dalam kesesakan lalu lintas, "Man man sedareeee. Man man!"

8/7/16

Blog Masakan

Now Playing: Sucker for Pain - Lil Wayne, Wiz Khalifa & Imagine Dragons w/ Logic & Ty Dolla $ign ft X Ambassadors (Simbolik baru balik tengok Suicide Squad)

Aku ada 20 minit setiap kali 12 muffin aku dibakar. Jadi aku decide untuk tulis blog.

Masa tengah study resipi muffin chocolate chip yang mak aku bagi ni, aku teringat perbualan aku dengan Farah.

Masa tu Farah cakap pasal aku patut teruskan menulis. Lepas tu, dia pesan supaya gunakan FB. Antara yang aku ingat dia cakap, "Kau buatlah benda kreatif kat FB tu, guna gambar ke apa... Pandai-pandai kaulah."

Mula-mula aku terfikir ruang macam Ilham Grup, Penulisan2u, Twitter.
Tiba-tiba teringat style presentation Rumah Sewa Seksyen 2 dengan Kisah Seram Karak dekat FB. Kalau dulu guna text panjang, 1 gambar. Sekarang, text berselang-seli dengan gambar mengejutkan. Ada juga, guna gambar je. Tak taip.

Benda-benda ni semua buat aku terfikir pasal dunia blogging. Tak ramai kekal menulis mahupun dibaca. Ramai dah beralih pada Wattpad untuk fokus penulisan fiksyen, Insta untuk photoblog, Twitter untuk luahan terus dari hati.

Tapi...

Lookin' good! 
Rasanya blog masakan ni, blog yang relevan sepanjang masa.
Tak kisahlah hari ini kau budak yang main Wechat, duduk rumah bujang ataupun kahwin muda, suatu hari nanti atau sekarang -- kau mesti akan masak.

Semuanya bakal jadi keperluan automatik bila crush minta dimasakkan, pejabat buat acara potluck atau adik minta tolong masa sesuatu sebab ada jamuan di sekolah (sekadar menyebut beberapa contoh).

Mungkin dalam zaman sekarang tak ramai membeli majalah, kalau beli pun ambil masa untuk belek satu-satu cari di mana letaknya resipi yang dicari. Maka Google adalah cara paling senang.

Dan blog akan jadi antara Hasil Carian utama, kalau kita meng-Google resipi.

Sedia untuk dimakan!

Macam kali ni, aku buat muffin chocolate chip guna resipi dari post 2013 di Azie Kitchen. Cuma sebab susu segar tak ada, mak aku suggest gantikan dengan susu cair.

Ini senjata yang mungkin tak tunjuk kat mana-mana blog untuk ambil adunan supaya tak comot pada cup.

Selain blog, sekarang dekat Facebook pun macam-macam resipi orang share dekat News Feed. Video Tastemade, Seismik sana-sini. Semuanya buatkan memasak nampak tak mustahil.

Ting --
12 Muffin terakhir aku siap dimasak!

***

Ah, dah lah cakap hal memasak ni!
Aku masih tak dapat lupakan beg Carlo Rino yang aku tengok kat mall siang tadi walaupun dah distract diri dengan hal lain (buat muffin).

7/3/16

Princess in Penang PT. II

Now Playing: The Zephyr Song - Red Hot Chili Peppers

Aku hampir je tak tulis Part II ni.
Sebab selalunya perancangan 8-11 malam yang dibahagi 3: 1/3 malam guna untuk membaca, 1/3 untuk menulis, 1/3 untuk berehat mahupun menonton tv akan hanya menjadi 3/3 berbaring tengok tv.

Tapi disebabkan aku sedang bercuti di rumah bersama laptop dan speaker, semangat aku membara sikit nak menulis.

Jadi, antara highlight aku dalam acara Penang  ni adalah ke Penang-Asian Comic Cultural Museum (PACCM). Masa Shaz and Mas buat jadual, aku cakap, "aku setuju je semua tapi kita kena pergi tau muzium komik tu."

Muzium komik ni agak baru. Jadi, masa aku Google sebelum pergi dulu, tak ramai lagi tulis/review tempat ni.

Pagi tu setelah pekena Nasi Kandar Deen Jelutong, kami ambil bas untuk ke Komtar. 

Depan Deen Jelutong ni ada bus stop. Dia punya dekat tu adalah seperti lari 3 langkah dari dalam Deen Jelutong pun masih sempat naik bas.

Ktorang buat macam tu lah. Sebab dekat bus stop panas. Tak ada bumbung.

Naik bas rapid tambang dalam RM 1.70.  

Tu diaaa penangan Nasi Kandar, punya mengantuk aku dekat seat. Dah lah aku tak dapat estimate time nak sampai Komtar berapa lama. Berkelip mata je terus terlelap. 

Masa sampai dekat depan PACCM tu, ada ramai orang. Kamera. Kamera.
Rupanya ada acara. Aku rasa aku macam nampak Keith, Lawak Kampus. Ktorang pun macam confuse nak buat apa dulu.

Kalau keluar dari bangunan tu dan jalan kaki 15 minit, boleh sampai kat muzium hantu. Jadi, kami pun jalan kaki. Pesanan aku: sila bawa air.

Sebaris dengan muzium hantu ni ada model kit meseum tapi masa ktorang pergi tu muzium tu tutup.

Dekat Penang ni sebenarnya banyak muzium. Tak tahulah macamana nak susun jadual kalau nak melawat semua. Susun jadual, susun bajet.

Contoh muzium lain: muzium mainan. Bukan Thailand je ada, Malaysia pun ada. 

Muzium hantu ni kalau ada student card + MY card masuk RM 10. Pekerja semua peramah dan menghiburkan. Semua pandai berlakon. Sampai ke tahap fotografer dalam rumah tu pun pandai berlakon.

"Ok, ni balance akak dan cenderahati dari kami," kata penjaga kaunter sambil menyerahkan baki aku dan hulurkan resit ("cenderahati").

Berdebar jugak dengar orang menjerit-jerit masa tengah tunggu giliran. Otak macam, 'apalah dorang jumpa kat dalam tu.'

Sebelum masuk, Abang Muzium pun pesan, "jangan takut. ni muzium bukan rumah hantu. tak ada yang nak terkejutkan."


Kah kah, aku tak tangkap banyak gambar dalam tu. Macam seram je kalau nak tengok balik. Top 2 menyeramkan, seksyen Hantu Melayu dan Hantu Jepun. Hot spot bergambar: Hantu Omputih dan Hantu Mesir. Yang cantik: Halloween.

Pergilah melawat sendiri. 

Try sua-sua muka kat dalam perigi. Ada sekali tu sua muka kat perigi, perigi tu keluar asap, gamat suasana sekejap. 


Luas juga tau muzium ni. Dibahagikan mengikut negara. Maksudnya bukan sahaja ada komik dari Malaysia tetapi juga 8 negara lain. Perjalanan komik ada yang disusun mengikut tahun, kemunculan pelukis top ketika itu, penggunaan komik mengikut politik semasa.  

Di samping ada juga Kid Zone untuk kanak-kanak cuba melukis dekat situ. 
Masa aku, Shaz and Mas pergi tak ada orang. Jadi ktorang pun pergilah melukis juga dekat dalam Kid Zone. Punya passionate sampai ada pelancong tangkap gambar. Sambil melukis boleh pulak heart-to-heart session. Kah kah.

Bestlah muzium ni, dah lah sejuk. 

Punya best sampai dekat pintu keluar, aku suruh Mas tangkap gambar aku merajuk tak nak balik. Konon-konon caption dia, "must we goooo nowwww". Kah kah! 

Tapi bila balik bercuti, ada kawan lain tertengok gambar tu rasa memalukan pulak. Kenapalah Mas tak bantah idea aku tu. 


Orait, aku nak kemas beg. Travel balik kampung pulak.

P/s: Kalau lepak dekat Padang Kota Lama, juntai kaki kat tebing menghadap laut -- jaga-jaga kaki. Ada tikus :p

***

Lain-lain tempat:

1. Solaris
2. Sabah PT 1, PT 2
3. Pangkor
4. Lata Medang, Lepok, Mossy Forest
5. Penang PT I

i could write you a book but i don't ...

Smartphone rosak lagi. Homepage tak appear, keluar antara black screen tak pun jenama je. Ada 3 kemungkinan system / sd card / sim card. Dengan kuasa warranty card, semuanya akan siap dalam 30 minit. 

Dan aku di sini. Bersila di lantai kayu menghadap rak yang dipasang setinggi syiling. Berlatar belakangkan lagu-lagu Ed Sheeran dari album "Songs I Wrote with Amy". 

Aku duduk menghadap rak dengan buku-buku bertajuk:  To All the Boys I've Loved Before, Me Before You, After You, Eleanor & Park, If I Stay, The Girl with the Dragon Tattoo, The Girl on the Train.

Rak sebelah pula, novel-novel dari penulis seperti: Jane Green, Stephen King, Nicholas Sparks.

Kedai buku yang cukup luas boleh duduk bersila sambil bersantai membelek buku seperti di library adalah bonus. Untuk pecinta buku yang tidak punya cukup bajet , kedai buku juga boleh disifatkan sebagai galeri. Duduk berjam-jam melihat buku-buku di rak seperti pameran. 


"Tak ramai dah orang pergi galeri. Orang sekarang nak cari idea dalam internet lagi banyak," ujar kawan designer dalam salah satu perbualan santai kami.

"Betul. Tapi pada aku, pergi galeri bukan 100% pasal pameran tu. Dia pasal kau berada kat ruang tu. Feel masa tu dan apa yang kau tengok depan mata. Macam kau tengok bulan. Bila kau tangkap gambar, gambar tu takkan sama cantik macam yang kau sedang tengok," balas aku pula.

"Selalu tangkap gambar bulan tak jadi ke?"

Kami ketawa serentak.

Sebulan lepas itu, aku telah dijemput ke opening pameran lukisan kawan designer dan 10 pelukis muda lain.

Aku pantas bertanya sebaik sahaja tiba di pintu galeri, "So yang mana satu kau punya?"

"Carilah sendiri."

Aku berjalan perlahan-lahan untuk meneliti sati per satu lukisan yang tergantung. Kemudian, berhenti di satu sudut. Ketika itu juga kawan designer tiba dan berdiri di sebelah.

"Yang ini?" jari telunjuk aku mengarah ke lukisan di hadapan kami.

"Eleh, kau baca description kat tepi tu kan?"

"Tak. Lukisan ni nampak macam movie-movie yang kau tengok. Subjek nampak macam kau."

Kawan designer mengangguk-angguk. Segelas air dihulurkan pada aku.

"Ramai jugak orang malam ni," ulas aku.

"Opening night memang macam ni. Hari biasa -- tak kot."

"Berapa harga lukisan ni?"

"Kalau bagitahu nak beli ke?"

"Bagitahu lah dulu."

"Pergi tanya tuan punya galeri."

Suasana senyap seketika.

"Tahniah untuk pameran malam ni," aku bersuara kembali.

"Kau tu ... bila nak siap tulis buku?"

Huh! Aku tak gemar topik ini dibicarakan berulang kali.

"Kau tahu kenapa aku buat semua ni?" soalan bukan untuk aku jawab lantas dia menyambung, "Supaya nanti bila aku tua atau bila aku terpaksa kerja pejabat sahaja, aku dah tak rasa ralat sebab aku dah pernah buat semua ni."

Waktu perlahan-lahan berlalu sementara aku melihat lukisan yang lain pula.

Seperti Cinderella yang ada curfew hour, aku perlu pulang lebih segera dari itu. Ada kereta api yang perlu dikejar. Aku bergegas keluar meninggalkan acara. Aku sempat menoleh ke belakang dan melihat kawan designer sedang ditemu bual wartawan.

Kami tidak bertemu selepas malam itu memandangkan kawan designer telah pun berpindah tempat kerja.

Cuma seminggu selepas itu ada 2 artikel mengenai pameran itu. Salah satunya menulis, "antara lukisan yang meninggalkan kesan" mengenai lukisannya.


Kembali ke masa sekarang. Aku masih di sini, di ruang ini. Melihat rak-rak buku dan berfikir di rak mana bakal dihuni buku yang tertanda nama aku pada cover nanti.


***

Windows Error Recovery

- Restart Now                                                  -  Restart Later




***

Ah, nak tidurlah!

5/31/16

Princess in Penang PT. I

Hari sedang hujan.

Tapi bukan hujan yang aku risaukan. Aku takutkan kilat. Rasa tak selamat nak berdiri kat bus stop dalam guruh-kilat.

Nak tulis e-mel kat client pun, idea sangkut-sangkut walaupun aku dah siap semua dokumen untuk aku attached.

Kepala aku pulak macam terkenang-kenang Penang lagi.

Bila aku baca balik entri pasal percutian dekat Pangkor 2 tahun lepas, aku gembira sebab entri tu betul-betul menggambarkan keseronokan aku waktu tu.

Jadi, aku nak tulis pasal Penang pulak.

Kali ni, aku pergi dengan kawan-kawan sekolah (Mas & Shaz). Percutian 3 hari 2 malam ni je memerlukan masa setengah tahun nak plan sebab jadual kerja masing-masing.

Syukurlah, aku memang dapat cuti dan jadual kami memang free.

Kami mulakan dengan tempah bilik di Hotel Malaysia.

Rencana awal nak naik kereta api. Aku pun tak ada masalah nak belikan sebab dah ada pengalaman masa naik ETS ke Ipoh (ok, aku tak cerita lagi pasal Ipoh. Cuma hint sikit-sikit je).

Tapi masa aku sampai kat kaunter tu, akak kaunter tu kata tiket ke Penang untuk tarikh 27 Mei - 29 Mei belum dijual. Aku fikir mungkin aku yang semangat sangat sebab memang ada lagi sebulan pun. Cuma aku ambil precaution step untuk beli awal sebab tarikh tu cuti sekolah.

Lepas tu akak tu tanya lagi sekali tarikh.
Kemudian, dia suruh baca notis yang tertera. Yang aku ingat notis tu tulis, "perjalanan ke Penang sedang dipertimbangkan".

Aku pun macam faham tak faham je. Last sekali, Mas decide supaya kami semua naik kapal terbang!

Memandangkan kos pergi balik yang hampir sama dan juga dapat jimat masa.

Jadi, pagi Jumaat aku dan Shaz pun bangunlah pukul 5.00 pagi sebab Mas akan ambil ktorang pukul 6.20 pagi untuk park kereta di TBS (RM 4 = 1 hari), kemudian naik bas (RM 10) jam 7.00 pagi menuju ke KLIA 2. Flight pukul 9.20 pagi.

Gerakan berjalan lancar. Kami sempat bersarapan ringan di KLIA 2.

Sebab Shaz dah nak kahwin bulan 9, jadi kami pun nak lah raikan. Jadi kami minta dia pakai crown dan selempang sepanjang perjalanan.

Perjalanan kami disambut girang dengan sapaan steward, sterwardess, pegawai keselamatan dan siap dapat naik buggy menuju ke pintu J yang jauh di hujung. Fuh!

Lama jugak tunggu waktu masuk kapal terbang. Entah macamana gate masuk bertukar ke gate sebelah, terpaksalah kami berlari masuk kapal terbang.

Syukur, sejam lepas tu kami sampai.
Kat Penang, Arul (kawan Shaz) sudah tunggu kami di airport.

Kami pun memecut laju menuju ke Kapitan untuk lunch.
Nasi Briyani dengan Ayam Tandoori di sini boleh dikatakan favourite aku setelah merasa tempat makan di Penang.

Setelah itu kami check-in hotel.
Salah satu lif tu dilekat oleh kayu. Mungkin sebab ada renovation. Aku macam curiga sikit nak naik. Tapi Mas cakap, "Betullah lif ni!"

Selesai Arul solat Jumaat dan kami bermake-up (haha!), kami menuju ke Bukit Bendera!
Aku rasa ni first time aku pergi.
Tiket naik RM 10.

Peh peh!
Kebetulan masa aku naik tu, cuaca nice. Berkabus-kabus.
Dapatlah bergambar pemandangan ala-ala Korea, disulami dengan background Love Lock kat belakang.

Shaz kata kat Penang ada 15 muzium. Dekat atas Bukit Bendera ni pun ada 1. Muzium Burung Hantu tapi kami tak masuk. Sebab Muzium matlamat kami esok!

Setelah bersantai-santai, bergambar biasa dan Boomerang -- kami pun ke lokasi seterusnya ... Batu Feringgi!

Memandangkan perjalanan Bukit Bendera ke Batu Feringgi tu jauhlah jugak, sempatlah kami berbual-bual pasal Penang serta beza-samanya dengan Ipoh.

Kat pantai kami tak ada buat aktiviti gempak pun.
Lebih kepada nak aktiviti ketenangan, kami duduk tepi laut tengok orang main paragliding sambil tunggu matahari terbenam.

Sebelum balik, sempatlah aku bungkus Apam Balik Station Batu Feringgi dulu.
Punya dahsyat, ada 44 perisa. Aku beli apam balik biasa (RM 1) dengan apam balik Nutella (RM 4)  je.


Ok, lah hujan kat luar dah berhenti.

Aku nak baliklah. Nanti aku sambung cerita hari kedua pulak.
Lapar pulak lepas rancak menaip ni! Tulaa, walaupun boleh post blog melalui handphone tapi kepuasan sebenar adalah menaip pakai keyboard! Keletuk keletak! Haa!


***

Lain-lain tempat:

1. Solaris
2. Sabah PT 1, PT 2
3. Pangkor
4. Lata Medang, Lepok, Mossy Forest

5/15/16

Rumah Sewa #6: Sewa Rumah

Perjalanan pulang dari Ipoh tenang sekali. Sehingga sempat terlelap beberapa kali akibat keletihan meneroka Gua Tempurung, menghayati seni bina Kellie’s Castle serta merenung Tg Tualang Tin Dredge dengan harapan dapat masuk ke dalam. Walaupun pada Sabtu petang berlakunya pertembungan antara ETS dan KTM, perjalanan pulang kami pada Ahad petang tidak terganggu. Kami tidak perlu menukar dari ETS kepada bas di Tg Malim seperti yang dijangka. Cuma kami tiba jam 9 di KL Sentral, berbanding waktu asal dijadualkan jam 8.20.

Terbejat seketika mood baik aku yang baru selesai menjelajah Perak bila mendapat satu khabar.

3 bulan dari sekarang, tuan rumah mahu rumah sewanya ini dikosongkan secara total bagi tujuan renovation secara besar-besaran selama sebulan.

Selepas itu, sewa akan dibuka semula dengan harga sewa yang baru.

Tak pernah terbayang akan jadi seperti ini pada akhirnya…”

Lagu Tetap Dalam Jiwa nyanyian Isyana Sarasvati menjadi latar ketika aku sampai di rumah sewa. Oh, ada ABPBH rupanya! Housemates aku semuanya sedang duduk merenung nasib di ruang tamu.

Kami banyak termenung, bukan sahaja sebab memikirkan next move (sewa di mana, harga sewa, deposit blabla) tetapi juga sebab kemungkinan terpaksa berpisah.

Kami dah selesa bersama. Contoh: Tengok drama tv dan complain bersama. Makan bersama.

Dan kemungkinan tertinggi yang akan berpindah adalah aku.

Kat mana aku tinggal sekarang sebenarnya jauh dari tempat kerja. Tapi aku stay sebab kali pertama datang KL aku tak dapat rumah sewa dekat dengan pejabat yang sesuai dengan simpanan aku. Lama-lama aku rasa senang untuk travel dan tinggal di rumah ini.

Memandangkan kos kehidupan meningkat seperti diperkatakan ramai, jadi perbelanjaan tetap macam sewa rumah ni patutlah dicari yang murah (/berpatutan). Supaya bila kena bayar on time, ia tak menjadi beban pada kita. Sebab sewa rumah ni, kita ada duit ke tak ada ke; kita tetap kena bayar. Elakkan bertangguh bayaran pada orang. Orang lain pun ada benda nak bayar.
Macam perbelanjaan boleh bertolak-ansur seperti makanan, pandai-pandailah berbelanja.

Untuk tips penjimatan perbelanjaan harian, carilah di FB (or other reliable sources).

Haa, aku ni tak berbakat sangat cari rumah sewa. Baik aku mula sekarang!

***

Kau rasa berapa percentage housemates aku jumpa blog ni bila dorang Google “Rumah Untuk Disewa” nanti? Hihi.



Rumah Sewa: #1, #2, #3, #4, #5

5/12/16

Seram PT. 2

Aku dan kawan-kawan mula-mula namakan road trip kami "Terkinja-kinja di Ipoh" tapi lepas sedar kami bukan sahaja berseronok di Ipoh sahaja tetapi juga tempat-tempat menarik yang mesti dilawati di Perak, kami nak tukar nama road trip ni.

Salah satu tempat kami berempat pergi adalah Tg Tualang Tin Dredge.

FB Tg Tualang Tin Dredge ni ada buat contest selfie / wefie. Admin page tu relaks je komen, "Saya nak tanya dalam gambar ni ada 4 atau 5 orang ea?"

Heart attack sekejap pagi-pagi dapat komen FB macam tu. Sebab kami memang 4 orang.

Lepas tu teruslah teringat: renjer cerita pasal "perkampungan lain" dalam Gua Tempurung, cerita-cerita Kellie's Castle.

Dan aku jugak teringat, aku berhutang satu cerita kat sini.

***

Kalau suruh pilih datang pejabat Sabtu Ahad berbayar atau siapkan semua kerja pada hari Jumaat, aku pilih siapkan semua hari Jumaat. Lagi-lagi bila semua team member sanggup.

Malam tu dah pukul 11 lebih. Aku dan 3 orang kawan masih lagi di pejabat.

Sebab semua orang sedang khusyuk membuat kerja, aku pun buat keputusan untuk ke toilet seorang diri.

Lagipun memang normal kalau pergi toilet sorang kat pejabat. Sekolah dulu yelaa, nak teman teman.

Sebaik sahaja aku keluar dari toilet, aku nampak satu lembaga hitam sedang berdiri di hadapan pintu jabatan.

Tak dapat nak digambarkan perasaan aku masa tu. Lembaga tu, bentuk orang tapi semuanya hitam dan membelakangkan aku.

Dalam hati aku ada jugak berdetik, 'jangan buat hal lah, aku nak siapkan kerja ni. dorang kat dalam tak nampak ke dia ni?'

Sambil itu aku berjalan perlahan-lahan ke arah pintu jabatan.

Aku terfikir kemungkinan aku tersalah pandang sebab dah terlalu lama bekerja depan PC.

Dan tiba-tiba!

Lembaga itu ingin membuat tindakan untuk berpaling ke arah aku.
Aku semakin panik.

Tapi cuba mengawal emosi untuk tak kelihatan gelabah. Sebab aku ada jugak berfikir, 'kalau dia orang,  nanti mesti dia offended.'

Dan kalau kau tanya, kenapa aku tak lari keluar dari bangunan atau sebagainya.
Masa tu aku memang fikir aku kena balik tempat aku dan sambung kerja di samping dah 11 lebih aku tak tahu nak balik macamana melainkan dengan kawan-kawan yang sedang bekerja kat dalam.

Sedikit demi sedikit, makhluk itu berpaling.

Hah! Seorang wanita berpurdah rupanya!

Dia menyebut sesuatu yang tak dapat difahami.

Aku sambut dengan, "Huh?!"

Kemudian, barulah jelas di pendengaran aku.

Gila! Dia cari Pegawai Antarabangsa Syarikat rupanya.

Barulah aku teringat, dalam perhimpunan staf hari tu ada sebut tentang tetamu dari luar negara akan datang untuk bermesyuarat hal usahasama baru.

Aku pun tak ingatlah kalau ada orang lain dekat pejabat ni (selain aku dan 3 kawan) sebab kubikel aku tersorok.

Pengajarannya kat sini: Ada perhimpunan staf kena pergi dan kalau boleh balik kerja awal, balik leeeeeeeeeeeeee.

4/17/16

Song of the Sea

Sekarang aku lebih gemar untuk membeli DVD berbanding download mahupun menonton online. Lagi-lagi di Mid Valley ada menjual DVD / CD dengan harga 3 = RM 27, 2 = RM 60 mengikut jenis. 

Antara sebabnya; aku tak ada line internet yang stabil di rumah sewa. Kawasan rumah aku juga belum dapat liputan Unifi lagi. Menonton movie dengan babak-babak yang tersekat memang tak sedap. Tambah-tambah bila babak intense.  Sebab ketiga adalah - aku tersedar yang aku gemar menonton filem dari Thailand (romcom mereka memang tiptop) jadi aku perlukan mediuam yang benar-benar menyediakan subtitle.

Ketika berjalan dengan kawan-kawan pada waktu rehat hari Jumaat, kami singgah ke kedai DVD. Melihat cerita-cerita terkini. Masa tu aku tak ada matlamat yang solid, rasanya memang nak tengk-tengok sahaja.

Malangnya, semua cerita yang ada tak menarik ataupun aku dah tengok. 

Sampailah aku ternampak satu cover DVD yang sangat comel.

Tak percaya tengok bawah ni:


"Eeeeee, comelnyaaaaaaa! Tengok ni!" aku separa menjerit kepada kawan aku.

Kawan aku pantas menyambut DVD yang aku pegang.

"Cerita pasal apaaaa niiii ... Cepat baca!" aku dah tak larat nak membaca. Lagipun English kawan aku tu memang power, jadi elok dia je baca.

"Hmm ... a brother who discover her sister can be seagull ..." antara patah-patah yang aku dapat dengar dari pembacaan kawan aku.

"Whoa, apa tu? How that happend..."

"Tak tahu. Irish folk tales ..."

"Tengok ni! Ada nominated for the Academy Award for Best Animated Feature kot," aku tuding jari pada sticker cover DVD. "Tak apa, nanti tengok trailer. Kalau best, baru beli."


Haa, memang comel pun keseluruhan lukisan cerita ni. Kalau tengok trailer rasa macam menyayat hati semacam. Sampai aku takut kalau termenangis sensorang bila tengok movie ni nanti.

Tapi bila tengok, tak adalah berjuraian air mata ke apa. Most of the time amazed dengan lukisan sebab everytime dia long shot, kita tengok satu benda tu nampak benda lain. Contoh tiang elektrik bentul burung, batu bentuk orang. Lepas tu, banyak "ooo", "ni berdasar cerita rakyat ke?" sebab kat cover DVD & Google ada beberapa part tulis "Irish & Scotland folktales". Lagu pun in Irish, masa ending je dalam Inggeris.

***

Lepas tengok My Neighbor Totoro dengan adik aku, aku memang cari animation je nak tengok dengan dia. Walaupun sebenarnya dia dah Tingkatan 1 dan boleh je aku nak ajak tengok movie yang lebih drama tapi tengok animation lagi best kot feeling dia. 

Tambahan sekarang, Ahad pagi pun tak ada kartun best. Ahad petang pun dah tak dapat tengok kartun kat TV9 due to Wow Shop.  

Sabtu pagi tu adalah aku bangun tertengok Raihan Rangers dengan Sofia The First. Haha!

3/28/16

Seram

Mimpi paling seram adalah mimpi pasal kerja. Sebab itu adalah bukti kau mula kehilangan life lain selain kerja. Lagi-lagi bila mimpi tu pasal bos kejar-kejar kau suruh siapkan sebelum deadline.

Kawan aku pernah cerita dia tak boleh bangun 2 hari, bila pergi doktor, doktor kata sebab dia tidur tak nyenyak gara-gara kepala selalu fikirkan sesuatu. Kita sama-sama tahu apa yang dia fikir.

Aku sikit terkesan dengan ceritanya dan berharap tak jadi macam tu.

***

Baru-baru ni aku stay kat pejabat dengan 3 orang lagi rakan sekerja sampai lewat 12 malam.

Ada cerita yang nak aku sampaikan... 

3/6/16

Tukang Jahit


Terbejat sekejap niat aku nak menulis ni sebab kerancakan peserta Ikon Siarawan 2015 berbalas hujah kat TV2 ni.

***
Baru-baru ni hype jualan Songket Sarawak. 
Masa aku pergi Jalan Tar bulan 10 tahun lepaslah permulaannya. Ramai peniaga memanggil-manggil, "Sayang, tengoklah Songket Sarawak ni."

Bahaya berbelanja tanpa simpanan ni.
Masa tu niat aku nak jalan-jalan je.

Lagipun aku nak tahu jugaklah, apa yang buat orang duk bersesak-sesak sangat kat Jalan Tar selalunya di malam raya.

Memang rambang mata pilihan yang ada. Kalau iman tak kuat mungkin berbelanja tanpa sengaja.

Dekat pejabat pun dah ada beberapa individu yang tak ketinggalan memperagakan Songket Sarawak ni. Haa, corak Songket Sarawak tapi kain cotton. 

Aku syak raya tahun ni, pattern ni famous trend.

Tiba-tiba aku dapat idea (💡) nak pakai kardigan panjang corak Batik Jawa sebab tertengok kemeja pak cik pejabat yang dia beli masa di Bali.

Dan tiba-tiba juga, ketika melawat mak cik aku minggu lepas, dia hadiahkan aku kain yang dia beli di Indonesia. Tak ingat daerah mana.

Kerana tak punya satu tempat tinggal yang tetap mahupun bandar yang aku betul-betul kenal, aku lack of option tukang jahit baju. 

Aku memang tak kenal ramai tukang jahit sebab memang dari kecil beli baju dah siap. Benda-benda macam ni lah mempengaruhi keputusan aku untuk tidak membeli kain ela.

Semalam aku hantar dekat satu kedai ni, lepas berbincang dengan mak aku dan terpengaruh dengan promosinya di FB.

Jaga-jaga semua! Sedap je dia ni jahit, aku borong semua kain. Haha!

***

Sekarang dah bulan 3, tapi dari lawatan bulan 10 hari tu ...  aku masih teringat kain cotton dan songket bunga tabur dekat Jalan Tar.

Hidup dalam memori memang mencabar!

2/11/16

Sibuk Bergembira

Aku ada janji dengan client nak submit paperwork dia esok. Tapi memandangkan kedai makan dekat kawasan rumah aku ni banyak tutup (semalam), aku ambil keputusan untuk dinner di KLCC.

Dalam LRT aku memang dah berniat supaya tak berlama-lama di sana. Aku pun dah fikir nak makan Empal Penyet.

Namun begitu, bermula dengan Empal Penyet habis; rencana mula berubah.

Lepas makan, aku mula berjalan ke Uniqlo untuk melihat kolek-koleksi Hana Tajima. Aku berhasrat ingin memiliki seluar rekaan Hana Tajima. Mari kita saksikan adakah hasrat ini akan tercapai pada bulan depan atau tidak!

Papp! Tamparan realiti menerjah!

Aku ada kerja perlu diselesaikan. Aku tahan diri aku dari melangkah masuk ke Jelly Bunny.

Dua minggu lepas aku nampak purse yang sangat cantik dan sweet di Jelly Bunny. Malang sekali, peruntukan shopping aku untuk bulan ni telah pun habis.

Aku segera nasihatkan diri aku untuk segera pulang.

Dalam LRT, aku Whatsapp group degree aku: punyalah fun Isnin hari tu. teringat. sampai hari ni aku balik kerja awal.

Agim reply: Aku terus tak pergi kerja.

Yang lain ... typing ...

***
Hari Isnin Izyan telah pun berkahwin.

Kami selaku rakan-rakan sekelas yang excited telah pun bergerak menuju ke Seremban. Kelas kami ni walaupun 12 orang, bila terpisah bukan senang nak berkumpul semua sekali -- sorang di Sabah, Perak, Penang, Johor, dekat China pun ada.

Itu pun hari tu, tak cukup 4 orang; Kaka, Iyan, Sopi, Faiz.

Kerana kurang pengalaman memandu, aku cukup terkejut dengan pantasnya perjalanan ke Seremban dari KL. Jadi, selesai makan kenduri dan berpeluk-pelukan dengan Izyan kami rancang untuk melepak.

Jadi, aku, Agim, Marwan, Naem, Hajjar, Miza dan Azian pun bergerak menuju ke SCM.

Kenapa SCM? Sebab Agim ada idea nak main belon.

Tapi bila sampai dia terus beli keropok lekor dan batalkan hasrat. Jadi, Marwan cadangkan kami untuk main Werewolf.

Bukan main riuh-rendah suasana ketika Marwan menerangkan cara permainan sampai dia sifatkan dirinya "separuh mati" menerangkan cara bermain. Agim yang tadi hampir kehabisan data, akhirnya download Apps yang Marwan cadangkan.

Permainan bermula!

Hajjar was killed las night. She remain as Ghost.

"Apahal kita dah 2 kali kena kill?" Hajjar bersuara separuh nyaring.

Azian tertawa menekup mulut.

"Entah-entah Azian yang kill," usik aku.

"Eh, mana ada ehhhh," balas Azian.

"Eleh, Aimi masa turn dia tadi ... Dia senyum sorang," kata Miza pula.

"Orang kalau jadi Werewolf ni kita boleh tau. Perangai dia lain," cucuk Marwan.

"Kalau hang menipu aku boleh tahulah. Hang angkat kening. Hang ingat masa hang tipu Sopi?!" ujar Naem kepada Marwan.

"Tapi tadi Aimi kata Naem fortuneteller kan? Takkan dia Werewolf..." fikir Agim pula.

Judgement time!

Itulah kami yang sedang bergelak tawa di tengah-tengah padang SCM seperti kami bergelak tawa bermain UNO mahupun Bingo di kafe fakulti tanpa perlu memikirkan hal-hal pejabat/pekerjaan di hari mendatang.

***

Hujung tahun lepas, masa sesi interview dengan HR, aku tak dapat jawab tentang macamana aku boleh terima offer kerja ni tanpa berfikir panjang. 

Tapi lepas pertemuan one on one suku tahun pertama dengan bos tadi, mungkin aku dah ingat.

"Awak kalau ada masalah, bagitahu saya. Saya tak nak awak menangis kat hujung sana tapi saya tak tahu apa-apa."
- Bos 
 sebab dia orang yang sama masa hari akhir intern aku yang berkata,

"Kalau lecturer awak tak nak bagi A, awak suruh dia call saya. Saya akan bela awak." 

1/25/16

Tiga Isnin

Sekadar berkongsi info dengan kawan-kawan harga tambang KTM:

KL Sentral - Shah Alam = RM 4.00 (Harga lama: RM 2.50)
KL Sentral - Sungai Buloh = RM 3.30  (Harga lama: RM 2.10)

***

Umum mengetahui, tentang cuti 25/1, 1/2 (untuk Wilayah Persekutuan), 8/2. 
Ini bermakna kawasan terlibat dapat berehat ekstra untuk tiga minggu berturut. Aku lah yang duduk dekat kawasan terlibat tu.

Jadual aktiviti aku untuk 3 minggu tu semua dah penuh. 

Minggu ini, aku pilih untuk bersantai-santai depan TV memandangkan Selasa aku (26/1) dijangkakan bakal hectic kerana ada submission hari Jumaat.

Masa tengah bersantai ni lah aku mulai tersedar yang kita dah ada banyak drama tempatan di TV.

Sebab aku ingat lagi masa aku sedang melangkah ke alam remaja, beberapa pihak bimbang bila drama import lebih banyak di TV. 

Masa tu hangat kebanjiran drama Mexico, Indonesia, Filipina dan Korea. Sesekali diselang-seli dengan drama Thailand. Drama Thailand boleh dikatakan pilihan no.1 aku.

Berbanding dengan sekarang hangat drama tempatan ditayangkan, mula dari ulangan drama top di awal pagi, tengahari, petang, maghrib, malam pun ada 2 slot drama 9-10, 10-11.

Drama-drama ni bukan sahaja memperkenalkan bakat-bakat baru malah fashion terkini yang dicemburui gadis-gadis terutama sekali fashionista yang menjadikan IG sebagai rujukan.

Cuma slack sikit:
Hari tu masa kami bertiga (housemates) tengah tengok babak intense di TV,  Akak yang telah ter-miss beberapa episod bersuara: "Eh, ini ke kakak dia yang perangkap suami dia tu?"

"Bukanlah. Itu cerita lain. Drama pukul 7! Omg!"

"Haha! Alaa, sorry. Semua macam lebih kurang." 

***

Alamak! Ada pengumuman fogging.

Aku kena turun berkumpul bawah blok lah. 
Ni betul-betul macam memori zaman kolej. Lepas tu mesti ada salah sorang degil dan malas turun sampai terberjangkit rasa yang sama pada kawan lain.

Selalu pun memang ada fogging kat sini tapi biasanya aku masih dalam train balik dari tempat kerja. Housemates pulak tak balik lagi. Aku kena turun ni.

***

Aku baru sedar hidup dekat kawasan pangsapuri / apartmen ni memang selalu ada fogging berbanding rumah teres. Jangan biarkan air bertakung di rumah anda (mahupun air jemuran baju anda menitik pada rumah jiran bawah)!

1/18/16

kegemilangan silam

"I remember all of the things that I thought I wanted to be." 
- Remedy, Adele.

***

Lepas separuh bulan tahun baru, baru aku berkesempatan tulis blog. 
Sebelum itu, aku ambil masa skrol blog list yang aku follow. Dah ramai yang tak menulis blog. Ada juga yang mengambil langkah untuk menjadi pembaca sahaja. Sebahagian lagi telah beralih ke Wattpad mahupun kekal dengan Twitter atau status Facebook sahaja. 

News Feed Facebook aku penuh perkongsian resipi dan tempat pelancongan. Terkini, "Jadilah Macam..."

Aku nasihatkan, asalkan baik -- korang jadilah diri-sendiri.

Sejak aku kerja ni aku selalu sangat nak bercerita hal-hal diploma aku. Aku dah macam orang tua-tua yang, "masa aku muda-muda dulu..."

Padahal umur aku ada separuh lagi nak ke 50.

Dan dekat level pejabat aku tu, aku paling muda.

***
Ada satu benda aku susah nak kawal. 

Aku selalu menaip dengan rentak yang kuat. Laptop lama aku pernah tercabut huruf "S" dari keyboard.

Hajjar (kawan Degree) panggil "menaip popcorn". 

Tabiat ni, aku dapat masa diploma.
Aku dan 18 kawan yang lain rancak menulis blog. Setiap hari kalau tengok blog list mesti ada entri baru. Seronok betul.

Tapi zaman tu, benda bernama Wi-Fi bukanlah sesuatu yang ada di mana-mana dan tidak ada benda bernama mobile data. Yang ada broadband.

Untuk yang tidak memiliki broadband; internet yang secure ada di library.

Di library, keyboard ancient dan komputer yang berskrin tebal disediakan. Bilik komputer library ni bukan ada orang. Selalunya masa aku datang, memang aku dan kawan-kawan je dalam tu. 
Kalau ada orang, mereka akan jadi minoriti.

Keyboard ancient tu memang payah nak tekan, sampai kena tekan kuat-kuat. Jari tu kena pastikan tepat atas huruf yang dipilih.

Bila ramai-ramai dalam tu menaip, rasa macam pertandingan lumba menaip. Bila ada yang rancak lebih pada kita, sesekali terlintas "laju menembak macam machine gun idea dia hari ni."

Irama "keletak-keletuk" berdendang padu di dalam bilik komputer. Sesekali terasa seperti mendengar irama oleh David Guetta.


***

Hari tu aku cakap dekat kawan kerja aku, "Zaman diploma tu seronok betul. Boleh buat apa je. Konsep Young, Wild and Free." 

Aku terdiam sekejap dengan pemikiran aku sendiri. Apa yang jadi penghalang sekarang?

***
Zainuddin (Tenggelamnya Kapal Van der Wjick)
Haa, tunggu hari limpahan sinaran bulan menyimbahi aku dan laptop pula supaya dapat siap satu manuskrip power.




Selamat Tahun Baru!
Hiduplah dengan mencipta pencapaian baru, tidak hanya terperangkap dengan kegemilangan silam.